twitter
rss

Pendekatan pengajaran KVK.
Kebiasaannya sebelum mengajar KV KVK,  saya akan memperkenalkan KVK (akhiran m, n, r, k, l, s, t, p).  Kaedah yang paling murid suka ialah menyanyi sambil melakonkan watak.  Pengajaran perlu melibatkan murid untuk mengelakkan suasana mengantuk. Panggil murid untuk menyanyi lagu seperti di bawah dengan bantuan murid.

Contoh:
sebut suku kata KV dahulu dan bunyi konsonan yang ingin diajar.
lalalaaaaaaaaaaaa…….r (bunyi rrrrrrrr- beri penekanan kepada bunyi huruf “r”)  = lar
bababaaaaaaaaa…..…m(bunyi mmm- beri penekanan kepada bunyi huruf  “m”) = bam
cacacaaaaaaaaaa…… t (bunyi teh- beri penekanan kepada bunyi huruf  “t’)  = cat

Apabila murid sudah kuasai sebut atau boleh eja dengan lancar, murid dilatih menulis KVK dan KV KVK. 
Contoh
Guru sebut   : bar.
Murid tulis    : bar
Guru sebut   : kar
Murid tulis    : kar
Guru sebut   : dar.
Murid tulis    : dar
Guru sebut   : kobar.
Murid tulis    : kobar
Guru sebut   : akar.
Murid tulis    : akar

Kuiz menulis mengikut sebutan guru dilakukan untuk mengenalpasti tahap penguasaan murid terhadap kemahiran KV KVK yang telah diajar. Jangan lupa hadiah kepada murid yang mendapat markah paling tinggi dan beri pujian manakala mereka yang lemah terus diberi motivasi untuk lebih berusaha.  Untuk entri akan datang, saya akan cuba memasukkan lembaran kerja yang ada dalam simpanan saya. Saya ingin berpesan kepada diri saya sendiri dan rakan-rakan agar sentiasa mendoakan kejayaan anak-anak murid kita, semoga doa kita dimakbulkan olehNya, aminnnn.



OBJEKTIF PROGRAM
Mewujudkan kerjasama dan silaturahim antara pihak sekolah dengan ibu bapa bagi mengatasi masalah 3M murid pemulihan.

Output Program
Untuk membincangkan perkembangan murid dengan waris dan cara untuk membantu murid cepat kuasai bacaan.

KPI
100 % ibubapa datang berjumpa untuk mengetahui perkembangan murid

PELAN KONTIGENSI
Menghantar surat dan menetapkan masa yang sesuai untuk perjumpaan dengan ibubapa.














Graf di atas menunjukkan tentang analisis data murid pemulihan Tahun 2 bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Matematik tahun 2011. Secara keseluruhannya, bilangan murid pemulihan Tahun 2 ialah seramai 6 orang.  Perbezaan bilangan murid bagi BM dan Matematik ialah 2 orang pada bulan Januari.  Sepanjang sesi pengajaran dan pembelajaran dijalankan sehingga bulan Jun, pengurangan murid seramai 2 orang bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan tiada pengurangan murid bagi mata pelajaran Matematik pada bulan Jun.  Pengurangan bilangan murid bagi BM dan Matematik sehingga Oktober ialah 2 orang. Faktor utama murid kekal dalam program pemulihan ialah ponteng tegar dan masalah kesihatan (lahir pramatang). Secara keseluruhannya, murid terus mengikut program pemulihan sehingga akhir tahun bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Matematik ialah 2 orang.












Pada 20 Jun 2012, beberapa orang guru SKDAM yang diketuai oleh Pn Siti Zawiyah (Penolong Kanan HEM), En.Ikhsan Faizal (Guru Kelas), Pn Noriati (Guru Pemulihan Khas) dan En. Mohd Zawawi (Kaunselor Sekolah) telah pergi ke rumah murid yang ponteng tegar.  Jarak rumahnya tidak jauh dari sekolah.  Tujuan utama kunjungan kami ke rumah murid tersebut adalah untuk memujuk murid agar datang ke sekolah memandangkan murid hadir sekolah hanya 15 hari berakhir bulan Mei.  

Setibanya kami di hadapan rumah tepat jam 9.15 pagi, seluruh ahli keluarga murid masih dibuai mimpi.  Tanggapan pertama saya bahawa faktor keluarga yang gemar bangun lewat menjadi punca utama murid tidak hadir sekolah.   Setelah dipelawa masuk ke rumah, Puan Siti Zawiyah memberitahu tentang tujuan kunjungan kami dan beliau juga telah memberi surat amaran ke-3 kepada penjaga. En. Mohd Zawawi selaku Kaunselor Sekolah mengadakan perbincangan dengan ibu bapa murid untuk mencari jalan penyelesaian.  Pelbagai alasan yang diberikan oleh ibu bapa murid.


Sejak hari kunjungan kami sehingga laporan ini dituliskan, murid tersebut masih tidak hadir sekolah. Apa yang dapat saya simpulkan di sini ialah ibu bapa murid tidak bertanggungjawab memberi pendidikan yang terbaik kepada anak-anak.  Mungkin juga ibu bapa murid tidak mempunyai kesedaran tentang kepentingan ilmu untuk masa depan anak-anak mereka.  Saya tidak lampirkan gambar-gambar murid dan penjaga  demi menjaga maruah mereka.  Harapan saya adalah semoga ibu bapa murid terbuka hati untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah demi menimba ilmu.


PROGRAM Pertandingan Baca Cepat

OUTPUT:
Memupuk minat murid untuk membaca dengan lebih yakin

KPI:
Murid dapat membaca dengan intonasi dan sebutan yang betul

PELAN KONTIGENSI:
Guru mengedarkan bahan bacaan yang sesuai dengan kemahiran murid dan murid baca tanpa eja.




REFLEKSI
                Program ini sangat digemari oleh murid kerana ia dapat menonjolkan bakat murid kepada rakan-rakan.  Secara tidak langsung, murid yang tidak dapat baca lancar akan berusaha untuk bersaing dengan rakan-rakan. 


        Sepanjang perjalanan program ini dijalankan, cabaran yang dihadapi oleh saya iaitu murid Tahun 2A bernama Mohd Ridhwan, ini kerana murid tidak menguasai huruf a-z dan sering lupa apa yang dipelajari. Selama 4 bulan diajar a-z, akhirnya murid berjaya mengenal a-z namun kadang-kadang ada kesilapan dibuat olehnya.  Cabaran kedua mengajar suku kata KV+KV  ialah Ridhwan tidak ingat dan tidak dapat membatang KV awalan.  


        Setiap hari saya mencuba kaedah yang sesuai, akhirnya saya telah mendapat idea dan kaedah mudah untuk murid cepat baca KV +KV iaitu melukis gambar kucing sebanyak 2 ekor.  Setiap kucing akan diberi nama ro (KV) dan ti (KV), murid diminta eja nama kucing di dalam hati.  Guru minta murid panggil nama kucing sehingga lancar.  Akhirnya murid telah kuasai KV+KV dengan cepat dan mudah.  Berikut adalah contoh kaedah yang diguna.
 RO


TI TI

Murid akan sebut nama kucing pertama dan kedua sehingga ingat.  Aktiviti menulis akan menjadi lancar .  Kaedah ini diteruskan lagi bagi kemahiran KV+KV+KV.



PROGRAM TOKEN EKONOMI

OUTPUT:
Untuk memupuk sikap positif pada diri murid dan memberi motivasi

KPI:
Mengubah sikap murid secara positif

PELAN KONTIGENSI:
Memberikan token mengikut tingkahlaku yang ditetapkan dan mendapat markah yang ditetapkan.




REFLEKSI
Program Token Ekonomi ialah suatu ganjaran yang diberikan kepada murid dalam pelbagai bentuk .  Dalam kelas pemulihan, saya telah menyediakan satu ruang untuk mempamerkan hadiah dan ganjaran kepada murid yang berjaya mengumpul markah yang telah ditetapkan. Pemberian markah dilakukan dengan merujuk jawapan yang betul berdasarkan lembaran kerja yang telah dibuat oleh murid.  Jumlah markah akan dikumpul dan murid boleh menebus barangan berdasarkan mata  barangan.  
    
    Program ini diadakan sepanjang tahun dan murid berpeluang untuk memperolehi lebih banyak hadiah.  Antara berikut ialah contoh barangan yang ditawarkan kepada murid iaitu syampu, sabun mandi, pensel, buku cerita dan pakej makan bersama guru di kantin sekolah.  
    
    Oleh itu, program ini telah memberi impak yang baik terutamanya dari segi motivasi untuk bersaing sesama murid.  Gambar-gambar dibawah merupakan aktiviti token ekonomi yang djalankan sepanjang tahun.




Murid yang berjaya mendapat hadiah.

Nabila berjaya mengumpul markah 99 mata dan membuat penebusan hadiah berdasarkan mata markah.


Sarah dan Ikmal bersama-sama hadiah masing-masing.